Majlis Flag Off pasukan PMS Racing Team (PMS RT) yang akan bertanding dalam pertandingan TSAE Auto Challenge Formula Student 2025 telah berlangsung di Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA 2 pada jam 1.30 pagi.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr. Syafizwan Nizam bin Mohd Faroque, Timbalan Pengarah Unit Pengantarabangsaan, Bahagian Koordinasi TVET (BKTVET), Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) dan diiringi oleh Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Muadzam Shah (PMS), En. Shahrul Nizam bin Mohamed serta beberapa orang pegawai dari PMS.
Pasukan PMS RT diwakili oleh sekumpulan 15 orang pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah yang bersemangat tinggi dan telah melakukan persiapan yang teliti dalam membangunkan jentera yang diberi nama 'HyperVolt' yang akan digunakan dalam pertandingan ini.
PMS RT selaku wakil tunggal dari Malaysia akan bersaing dengan 13 pasukan lain dalam pertandingan TSAE Auto Challenge Formula Student bagi kategori Electric Vehicle (EV) yang akan diadakan di Litar Lumba Pathum Thani, Bangkok, Thailand bermula 24 Januari sehingga 26 Januari 2025.
Pada akhir upacara, Dr. Syafizwan Nizam selaku wakil dari JPPKK menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan Politeknik Malaysia kepada Ketua Delegasi PMSRT iaitu En. Mohd Hafizuddin bin Abu Bakar dan pegawai pengiring pelajar, Dr. Siti Rohani binti Isnin sebagai tanda simbolik permulaan perjalanan mereka ke Bangkok, Thailand untuk menghadapi pertandingan. Suasana penuh dengan semangat dan harapan, dengan seluruh ahli pasukan PMS Racing Team bertekad untuk memberikan yang terbaik.
Pertandingan sebegini adalah peluang penting untuk pelajar mempamerkan hasil reka bentuk mereka serta untuk bersaing dengan pasukan dari institusi pengajian tinggi antarabangsa yang lain. Pasukan PMS RT berharap untuk meraih kejayaan dan membawa pulang pengalaman yang berharga, serta meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam bidang TVET dan kejuruteraan automotif.
Semoga pasukan PMS Racing Team berjaya mencapai kemenangan dan terus berusaha untuk mencipta rekod baharu dalam dunia Formula Student dan inovasi automotif.
Semoga berjaya, PMS Racing Team!